PETALING JAYA – Tampil melenyapkan khabar angin, pelakon Zara Zya menegaskan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan lelaki yang digosipkan dengannya baru-baru ini.
Tanpa menyebut sebarang nama, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 41, berkata, dakwaan menjalin hubungan dengan lelaki tersebut adalah perkara yang dianggap melampau sedangkan mereka hanyalah sekadar rakan biasa.
“Maaf cakap, ini sudah berlebih-lebihan. Saya tiada sebarang hubungan peribadi dengan individu yang digosipkan.
“Hubungan kami hanyalah sekadar kenalan biasa dan jumpa pun baru sekali.
“Jika pihak sana mempunyai perasaan, itu adalah urusan peribadi dia dan tiada kena-mengena dengan saya,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Zara menambah, dia juga meminta mana-mana pihak terutama lelaki yang digosipkan dengannya berhenti menabur cerita tidak benar mengenai hubungan mereka ketika ini.
“Saya harap dia berhenti menyebarkan naratif yang tidak tepat kerana menjejaskan reputasi saya serta keluarga.
“Saya juga tidak berminat untuk melayan gosip murahan macam ini,” tegasnya.
Semalam, sebuah portal hiburan melaporkan usahawan yang juga bekas tunang kepada pelakon Zarina Anjoulie iaitu Datuk Seri Khazrul Elzey tidak menolak sekiranya ditakdirkan berjodohan dengan Zara. – KOSMO! ONLINE














