fbpx
Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 254.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, awal pagi tadi. Foro IHSAN PDRM

Dua maut rempuh lori rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Dua sahabat maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 254.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa masing-masing berusia 23 dan 24 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis AX200S yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Melaka.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori rigid jenis Hino.

“Lori berkenaan membawa muatan barangan plastik dan berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan enjin,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat,” katanya yang memberitahu mangsa bekerja sebagai pembantu kedai makan dekat pasar besar di Melaka.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6032222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI