PETALING JAYA – Dikatakan sudah mendirikan rumah tangga dengan Hael Husaini, penyanyi Dayang Nurfaizah memakluman spekulasi sebegitu adalah lumrah bagi seorang selebriti dan sukar untuk dielakkan.
Enggan membiarkan peminat terus berteka-teki, Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 46, berjanji akan berkongsi berita gembira tidak lama lagi.
“Bagi saya sebagai selebriti memang gosip-gosip seperti ini selalu ada dan tak boleh nak dielakkan.
“Kalau selalu nak elak kasihan pula pada semua peminat. Saya harapkan peminat hanya doakan yang terbaik.
“Kalau benda yang betul dan boleh dikongsikan dengan peminat insya-Allah.
“Untuk peminat semua sabar dan tunggulah. Sudah tentu benda baik saya akan kongsikan kepada semua,” katanya menerusi satu temu bual radio.
Ditanya mengenai memiliki rantai yang sama dengan Hael, pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu menyatakan perkara tersebut hanyalah kebetulan.
“Kebetulan rantai ini jenama sama, bukan saya dan dia saja ada. Ramai orang ada.
“Dia salah seorang sahabat yang baik dan rakan duet yang serasi dengan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul spekulasi berkaitan Dayang dan Hael yang dikatakan sudah melangsungkan perkahwinan.
Malah, spekulasi mengenai pertunangan juga timbul, namun Dayang memilih untuk tidak mengulas dakwaan terbabit.
Dayang turut menafikan wujud sebarang tarikh istimewa yang ditetapkan berkaitan majlis perkahwinan seperti yang didakwa. – KOSMO! ONLINE














