KUALA LUMPUR – Tindakan seorang seorang buruh yang membuang puntung rokok di tempat awam, membawa padah apabila didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas, Ajmal Haziq Zulkarnain ,30, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama sebulan. Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang di sini, pukul 10.39 malam pada 1 Januari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A’ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.
Bagaimanapun Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mengakui kesalahan yang dilakukannya.
Sebelum ini, dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan semua pesalah yang disabitkan mahkamah bagi kesalahan membuang sampah akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat.
Beliau berkata pesalah akan menjalani hukuman dengan membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam, mengikut sabitan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














