KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adiknya masih menerima rawatan selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone oleh ibu mereka dalam kejadian di Sungai Ramal Baru, di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 7.50 pagi.
Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala seorang adiknya berusia lima tahun kini ditempatkan di unit rawatan rapi dan seorang lagi berusia sembilan tahun dirawat di zon merah unit kecemasan.
Kejadian dipercayai berlaku selepas ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberi ubat jenis methadone kepada ketiga-tiga anak lelakinya.
Kejadian turut dipercayai berlaku pada pukul 9.01 pagi hasil laporan daripada pegawai perubatan hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE














