SEPANG – Pelumba sensasi Aprilia, Jorge Martin sedia kembali ke litar apabila bakal menyertai ujian pramusim terakhir MotoGP di Litar Antarabangsa Thailand, Buriram pada 21 dan 22 Februari ini.
Khabar gembira itu hadir selepas Aprilia mengesahkan proses pemulihan Martin berjalan lancar hasil pemeriksaan perubatan terbaharu di Sepanyol.
Martin sebelum ini melalui musim sulung yang dianggap ‘ngeri’ bersama Aprilia tahun lalu selepas dibelenggu empat siri kecederaan serius, selain terpaksa melupakan ujian pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Pelumba yang mendapat gelaran ‘Martinator’ itu sebelum ini dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan pergelangan tangan kiri dan tulang selangka bagi memulihkan kecergasannya.
“Pemeriksaan perubatan menunjukkan keputusan positif. Martin akan terbang ke Buriram minggu depan untuk menyertai ujian di sana.
“Bagaimanapun, dia masih perlu menjalani penilaian akhir oleh pasukan perubatan Grand Prix FIM bagi mendapatkan kebenaran rasmi sebelum dibenarkan turun ke litar,” jelas Aprilia.
Jika lulus ujian kecergasan tersebut, ia bakal menjadi penampilan pertama Martin di atas jentera RS-GP 2026 sejak ujian rasmi di Valencia pada penghujung tahun lalu.
Aksi di Buriram itu dianggap sangat penting memandangkan litar yang sama akan menjadi gelanggang pembuka tirai musim 2026 pada hujung minggu berikutnya.
Kehadiran Martin amat ditagih Aprilia selepas rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi menunjukkan taring apabila mencatatkan masa kedua terpantas di Sepang. – AGENSI














