fbpx
Gambar hiasan.

Azam sahkan tidak lagi miliki saham dalam mana-mana syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham dalam mana-mana syarikat setakat hari ini.

Beliau berkata, ini termasuk dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, Velocity Capital kerana ia telah pun dilupuskan pada tahun lalu.

Dalam hal ini, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menyemak dengan Bursa Malaysia jika penjelasan beliau itu meragukan.

“Sekarang dalam akaun saya (pemilikan saham) zero, tidak ada langsung, anda boleh semak dengan Bursa Malaysia. Jika ada, buktikan kepada saya. Bukan sahaja saham dalam Velocity, tetapi dalam mana-mana syarikat sekali pun.

“Saya tidak ada mana-mana pegangan saham lagi. Jika saya menipu, anda boleh membuat laporan polis. Saya tidak ada walau satu unit pun saham,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan laporan portal berita antarabangsa berkaitan pemilikan saham Azam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 dan Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.

Azam berkata, beliau tidak pernah menjangkakan isu pembelian saham yang dibangkitkan akan dipolemikkan kerana sebagai warganegara Malaysia, beliau mempunyai hak untuk membuat pelaburan selagi tidak melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, kata beliau, saham yang dirujuk itu juga telah diisytiharkan dengan sewajarnya melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2025, selaras dengan peraturan perkhidmatan awam sebelum dilupuskan pada tahun lalu.

Menurutnya, pelaburan yang dibuat adalah menggunakan wang simpanan dan pendapatan sah miliknya sendiri tanpa melibatkan pinjaman atau dana pihak lain.

Beliau turut menegaskan, sekiranya terdapat sebarang keraguan, pihak berkaitan boleh membuat semakan dengan institusi kewangan termasuk bank dan Bank Negara Malaysia.

“Saya faham undang-undang. Selagi tiada konflik kepentingan dan bukan menggunakan wang orang lain, saya gunakan wang sendiri, simpanan sendiri, pendapatan sah saya. Saya tidak pernah mengambil pinjaman peribadi sehingga hari ini.

“Jika ada yang mendakwa saya mengambil pinjaman atau sumber tidak sah, boleh semak dengan bank atau Bank Negara. Saya tidak mempunyai pinjaman peribadi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI