KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menukar kaedah agihan bantuan Ramadan kepada asnaf fakir miskin negeri ini yang sebelum ini secara tunai kepada penebusan di premis perniagaan terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, kaedah baharu seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tersebut membolehkan penerima menggunakan bantuan zakat terbabit untuk membeli bukan sahaja barang keperluan basah dan kering malah pakaian.
Beliau berkata, bantuan Ramadan itu juga boleh ditebus bagi membayar bil utiliti iaitu elektik, air dan telefon serta ubat-ubatan di klinik dan farmasi.
“Penebusan bantuan menerusi aplikasi Maidam tersebut boleh dilakukan bukan sahaja di premis perniagaan terpilih, malah secara dalam talian.
“Kita menukar kaedah agihan ini bagi memastikan asnaf terlibat berbelanja (menggunakan bantuan zakat) mengikut keperluan semasa selain mahu mengenal pasti corak pembelanjaan mereka,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pengumuman kadar zakat fitrah Terengganu yang disempurnakan Yang Dipertua Maidam, Datuk Zulkifli Ali.
Ahmad Azrin berkata, penebusan bantuan Ramadan antara RM300 hingga RM700 mengikut kategori isi rumah asnaf terlibat boleh dilakukan dari 19 Februari hingga 31 Mac depan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, seramai 29,402 keluarga dalam kalangan asnaf fakir dan miskin Terengganu layak menerima bantuan Ramadan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














