fbpx
Mohd. Khaidzir ketika sidang akhbar selepas Program Simbolik Agihan Bantuan Ramadan dan Syawal di Klang hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

2,000 asnaf Selangor diperalat jadi keldai akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kira-kira 2,000 asnaf dikesan menjadi mangsa keldai akaun selepas diperalatkan sindiket penipuan di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari ketika mendedahkan perkara itu memaklumkan, sindiket dikatakan mengambil kesempatan terhadap golongan asnaf yang kesempitan hidup dan kurang kesedaran kewangan.

Menurutnya, kebanyakan asnaf tidak menyedari mereka sedang dimanipulasi selepas diminta menyerahkan MyKad sebelum dibukakan akaun bank serta kad mesin pengeluaran automatik (ATM) oleh pihak scammer.

“Scammer pun tidak tahu mereka ini asnaf. Cuma mereka mudah dimanipulasi kerana terdesak wang. Ada yang ditawarkan RM100 sebulan, hanya serahkan kad pengenalan dan buka akaun dan tetapkan kata laluan sebelum diserahkan kepada scammer.

“Asnaf ini pula mungkin suka namun tidak menyedari bahawa mereka telah menjadi keldai akaun.

“Sedar-sedar apabila kita hendak masukkan bantuan bulanan, pihak bank maklum bayaran tidak lulus kerana akaun telah disenarai hitam,” katanya pada sidang akhbar pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Miszairi Sitiris menyempurnakan program simbolik agihan bantuan Ramadan dan Syawal Tahun 2026.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati akaun berkenaan terlibat dalam kes jenayah, sekali gus menyukarkan proses penyaluran bantuan zakat.

“Apabila akaun disenarai hitam, kita perlu cari kaedah lain untuk salurkan bantuan. Dalam Islam, mereka masih asnaf dan layak menerima zakat, itu tanggungjawab kita.

“Mereka ini adalah mangsa yang jadi keldai akaun,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, Zakat Selangor turut bekerjasama dengan institusi kewangan bagi meningkatkan kesedaran literasi kewangan dalam kalangan asnaf serta mengekang kegiatan penipuan.

“Apabila kita berkongsi perkara ini dengan pihak bank, ramai tampil bekerjasama bagi memberi pendidikan kewangan serta pendedahan mengenai modus operandi scammer yang menipu asnaf jadi mangsa untuk tujuan tidak baik,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN