fbpx
Adly melawat ladang Sun Melon pada Lawatan Kerja Program Usahawantani Putra-Perhebat di Universiti Putra Malaysia, hari ini. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

151 veteran ATM dilatih jadi usahawan tani, hasil cili cecah 24 tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Seramai 151 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya dilatih dalam bidang pertanian dan penternakan menerusi Program Usahawan Tani Putra-Perhebat, hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak Mac 2023.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program itu bertujuan menyediakan kerjaya kedua yang mampan kepada veteran ATM selain membantu meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.

Menurutnya, sehingga kini program tersebut berjaya menghasilkan hampir 24 tan cili dan terung, selain tiga tan ikan keli serta tujuh tan buah sun melon, sekali gus membuktikan keberkesanan modul latihan yang dilaksanakan.

Katanya, latihan yang disediakan merangkumi lapan plot utama termasuk tanaman fertigasi terung dan cili, sun melon, nanas, jagung, cendawan serta sektor penternakan melibatkan puyuh, ayam, ruminan dan ikan air tawar.

“Latihan yang diberikan amat menyeluruh bermula daripada pembenihan, penjagaan, pengurusan ladang sehingga ke peringkat pemasaran, termasuk penggunaan teknologi digital,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Program Usahawantani Putra-Perhebat di UPM, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan UPM dipilih kerana universiti itu mempunyai kepakaran, teknologi serta penyelidikan pertanian termaju, sekali gus memastikan peserta menerima latihan berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa industri.

Menurut Adly, tempoh latihan selama enam bulan bagi setiap kumpulan membolehkan dua kumpulan dilatih setiap tahun dan setakat ini sebanyak enam kumpulan telah menyertai program tersebut.

Tambahnya, sejak pelaksanaan program itu hampir tiga tahun lalu, pihak kementerian sentiasa memantau prestasi dan kemajuan peserta bagi memastikan ilmu yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada aktiviti pertanian berskala komersial.

“Pemantauan mendapati sebahagian besar peserta berjaya meneruskan aktiviti pertanian selepas tamat latihan, sekali gus menjana pendapatan tetap dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Perhebat turut menawarkan pelbagai segmen latihan lain merangkumi bidang digital, teknologi tinggi dan keusahawanan bagi memastikan veteran ATM kekal berdaya saing.

Katanya, antara inisiatif terbaharu adalah kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan yang bertujuan memperkukuh pengetahuan teknologi kepada peserta latihan.

Ujarnya, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan masa depan veteran ATM terus terpelihara menerusi peluang kerjaya yang stabil dan berimpak tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN