MELAKA – Seorang peniaga maut, manakala tiga lagi cedera selepas pemandu sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘Microsleep’ merempuh lima kenderaan di lampu isyarat persimpangan Padang Jambu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, muka, badan dan tangan.
Tiga lagi mangsa iaitu dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Suzuki Raider R150 berusia 25 tahun dan seorang lagi pemandu kereta Proton Saga 48 tahun masing-masing mengalami kecederaan di kaki kanan serta dahi dan bahu kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila Myvi terbabit yang dari arah Bandar Melaka ke Bukit Beruang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.
“Myvi ini telah melanggar tiga buah motosikal jenis dan dua buah kereta termasuk sebuah BMW yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
“Akibat rempuhan itu, penunggang Honda EX5 maut di lokasi, manakala tiga yang lain cedera di kaki kanan serta dahi dan bahu kanan. Pemandu lelaki Myvi terbabit yang berusia 35 tahun bagaimanapun hanya melecet di bahagian siku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat rakaman papan pemuka kenderaan daripada saksi bebas yang berada di belakang Myvi berkenaan.
“Hasil siasatan awal pegawai penyiasat, pemandu Myvi terbabit dipercayai mengalami ‘microsleep’ ketika kejadian.
“Lelaki tersebut akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh untuk permohonan reman,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, rakaman papan pemuka berkaitan kejadian turut tular di laman sosial menunjukkan Myvi berkenaan dipandu dalam keadaan berbahaya sebelum merempuh lima kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat di persimpangan Padang Jambu.
Salah seorang penunggang motosikal turut dilihat tercampak di laluan bertentangan akibat impak pelanggaran.- KOSMO! ONLINE














