KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas, K. Rageswery, 72, tampil merayu bantuan orang ramai bagi menjejaki keluarga kandungnya yang berbangsa Cina selepas terpisah sejak dilahirkan lebih tujuh dekad lalu.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Malaysia Chinese Association (MCA), Datuk Seri Michael Chong berkata, Rageswery dilahirkan sebagai bayi perempuan berbangsa Cina sebelum diserahkan kepada sebuah keluarga India tidak lama selepas kelahirannya.
“Dia dilahirkan di Hospital Besar Seremban pada 10 April 1954 dan nama asal yang direkodkan dalam sijil kelahiran ialah Wan Chow Lan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, berdasarkan dokumen dan pengisytiharan berkanun, bapa kandung Rageswery dikenali sebagai Wan Wah, berketurunan Cina Hakka dan bekerja sebagai kontraktor, manakala ibunya pula bernama Hew See, juga daripada keturunan Hakka.
Rageswery berkata, dia mula menyedari status dirinya sebagai anak angkat ketika berusia 15 tahun selepas dipersoalkan rakan sekolah mengenai perbezaan rupa paras dan nama yang digunakan.
“Saya tak mahu sakiti hati ibu bapa angkat saya kerana mereka besarkan saya dengan penuh kasih sayang. Mereka beri saya pendidikan, pakaian dan segalanya, sebab itu saya tak pernah paksa mereka beritahu perkara sebenar,” katanya.
Menurutnya, rahsia mengenai asal-usul dirinya hanya terbongkar selepas kedua-dua ibu bapa angkatnya meninggal dunia dan kakak angkatnya mendedahkan bahawa dia diambil daripada sebuah keluarga Cina Hakka di Seremban.
“Saya bersyukur dengan kehidupan yang saya lalui, tetapi impian saya hanyalah untuk tahu siapa keluarga kandung saya dan bertemu adik-beradik kandung sebelum saya meninggal dunia,” katanya.
Dia berkata, usaha mencari keluarga kandung pernah dilakukan pada tahun 2005, namun terpaksa dihentikan kerana komitmen menjaga ahli keluarga yang sakit, termasuk ibu mentua dan suaminya yang meninggal dunia akibat kanser.
Anak lelakinya, Kumaran, berkata beliau dan adik-beradiknya kini berusaha membantu ibu mereka menunaikan hasrat itu.
“Kami hanya mahu ibu kami bertemu keluarga kandungnya. Harap orang ramai dapat membantu, dengan harapan pertemuan semula dapat direalisasikan menjelang Tahun Baharu Cina akan datang,”katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pejabat Datuk Seri Michael Chong di talian 03-2716 5954 atau Rageswery A/P A Kanniah di 019-358 0235.














