PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah media antarabangsa, Bloomberg, yang didakwa mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas terhadap Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan laporan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai terbabit, malah secara tidak wajar mengaitkan suruhanjaya itu dengan dakwaan salah laku sehingga boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan berkenaan.
Menurut SPRM, pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus serta prosedur pentadbiran yang ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam dan dibuat menerusi saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan, pemerolehan serta pelupusan aset termasuk saham,” katanya.
Tambah kenyataan itu, gambaran seolah-olah berlaku kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar dari segi fakta dan mengelirukan orang ramai, sekali gus memberi persepsi negatif terhadap kerangka integriti dan tatakelola yang mengawal SPRM.
Tegas SPRM, pihaknya kekal komited menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas statutori serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam terhadap suruhanjaya itu melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, media melaporkan menurut Bloomberg, Azam dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin dan sehingga Selasa, nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.- KOSMO! ONLINE














