SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menegaskan penternakan babi ini boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
“Di samping itu, ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Beliau menjelaskan, Sultan Sharafuddin turut berpendirian walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden namun ia memerlukan perbelanjaan yang besar.
Tegasnya, ia tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.
“Tambahan lagi tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang,” jelasnya.
Mohamad Munir berkata, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad.
Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Justeru, Baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.
“Menerusi kaedah itu, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah negeri ini bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata Mohamad Munir, Sultan Sharafuddin menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
“Semua pihak diseru untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu dalam kenyataannya telah menyarankan kepada Kerajaan Selangor untuk membatalkan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor.
Isu berkaitan ini juga telah dibincangkan oleh Anwar semasa menghadap Sultan Sharafuddin di ibu negara, kelmarin.
Berikutan dengan pertemuan itu, Anwar di dalam ucapannya semalam telah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan yang dibantah oleh penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi.
Sekiranya tiada kawasan yang bersesuaian untuk menternak babi di negeri Selangor khususnya maka saranan beliau agar ia tidak perlu dijalankan. – KOSMO! ONLINE














