KUALA LUMPUR – Desas-desus akhirnya terjawab, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan bakal melepaskan jawatannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada akhir bulan ini selepas tiga tahun berkhidmat.
Menurut Suhaimi, 64, pengundurannya daripada jawatan tersebut dengan sukarela dan mengakui pengalamannya di RTM adalah luar biasa.
“Sebenarnya ini sebahagian daripada perjalanan hidup, memang akan sampai satu tahap dalam hidup apabila kita rasa perlu bergerak ke hadapan dan melakukan perkara lain.
“Saya kini berusia 64 tahun. Saya sudah bersara, kemudian dijemput untuk membantu RTM. Sepanjang tempoh ini, saya sudah berkhidmat hampir lebih tiga tahun, satu perjalanan yang hebat.
“Pada asasnya, itulah sebabnya saya membuat keputusan ini. Namun secara keseluruhan, saya melalui satu pengalaman yang sangat indah di RTM, seluruh pasukan sangat hebat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Puasa Tetap Puasa & Raya Tetap Raya RTM 2026 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada terdapat usaha mana-mana pihak memujuk, Suhaimi masih kekal dengan pendiriannya untuk mengundurkan diri.
“Saya rasa mereka faham. Ini bukan soal dipujuk atau tidak, saya pun sudah berusia 64 tahun. Selepas ini saya mahu melakukan perkara yang saya suka.
“Mereka faham perkara ini dan saya sudah berbincang dengan mereka, begitulah keadaannya.
“Klausa pelepasan dalam kontrak saya ialah 30 hari dan akan berakhir 22 Februari nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu RTM merupakan satu khazanah negara selain berbangga diberi peluang untuk menerajui selama tiga tahun.
Sepanjang perkhidmatannya juga, dia juga mewujudkan satu ekosistem baharu selain membawa idea-idea lebih segar dalam program televisyen.
“Secara keseluruhan, tiga tahun adalah satu perjalanan yang sangat indah. Warga RTM sebenarnya sangat hebat.
“Sebab itu sekarang anda boleh lihat program kita tidak lagi kaku.
“Semuanya di RTM kini lebih segar dan banyak idea baharu. Inilah cara saya bekerja, jadi sekarang kita perlu bergerak ke hadapan,” tuturnya.
Katanya, selepas ini dia akan memberi tumpuan penuh terhadap bisnes restorannya di Melaka dan beberapa lagi cabang perniagaan lain.
Terdahulu, khabar angin Suhaimi akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM akhir bulan ini bertiup kencang sejak semalam.
Suhaimi juga sebelum ini pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam bidang penyiaran dan kewartawanan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani pada 2017 dan Pengerusi Bernama pada 2020. – KOSMO! ONLINE














