JAKARTA – Satu video tular di media sosial Indonesia memaparkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sebatang jalan di Jatinegara, Jakarta Timur, gara-gara sebuah majlis perkahwinan, lapor laman berita Kompas semalam.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, jalan tersebut ditutup oleh pihak tuan rumah.
Mereka memasang khemah dan kon lalu lintas untuk menutup jalan tersebut sehingga membuatkan pengguna jalan raya tidak dapat melaluinya.
Kesesakan turut berlaku kerana banyak kenderaan tetamu majlis diparkir di kiri dan kanan jalan, sekali gus mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya.
Ketua Daerah Jatinegara, Endang Kartika ketika dihubungi berkata, penganjur mengadakan kenduri dan menyekat jalan raya hanya dengan cuma mendapatkan kebenaran daripada jawatankuasa kejiranan tempatan.
“Kebenaran daripada persatuan kejiranan (RT) dan persatuan komuniti (RW) telah diperolehi, tetapi tiada permit polis dikeluarkan,” katanya.
Tambahnya, keluarga tersebut mengakui tidak mengetahui bahawa menutup jalan awam untuk kepentingan peribadi adalah dilarang dan memerlukan kebenaran polis.
“Kami telah memberikan teguran agar mereka tidak mengulanginya lagi,” kata Endang. – AGENSI














