KUALA LUMPUR – Pelakon Sherry Ibrahim tidak menafikan wujud tanggapan terhadap dirinya termasuk dilabel sebagai wanita ‘high maintenance’ yang membuatkan sesetengah lelaki berasa gentar untuk menjadikannya sebagai pasangan hidup.
Menurut Sherry, 42, perkara tersebut mungkin tercetus apabila melihat kehidupannya yang serba-serbi lengkap selain dianggap wanita yang memiliki ‘pakej lengkap’ iaitu penampilan menawan.
“Apabila bercakap tentang ‘pakej lengkap’, orang mungkin melihat dari segi rupa, cantik, tinggi, kurus dan sebagainya sehingga ada yang takut untuk mendekati.
“Bukan itu sahaja, ada yang beranggapan saya wanita ‘high maintenance’, tetapi sebenarnya tidak pun, semua yang saya miliki adalah hasil sudah bekerja sejak umur 18 tahun.
“Hakikatnya saya seorang yang sangat ringkas tetapi bekerja keras untuk dapatkan sesuatu yang diinginkan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, meski mengakui sudah bersedia untuk memegang status sebagai seorang isteri, dia bagaimanapun memberitahu mencari pasangan yang jujur adalah sukar ketika ini.
Katanya, kejujuran yang dicari perlu ditunjukkan melalui perbuatan, bukan sekadar dengan kata-kata.
“Jangan hanya pandai bercakap, kerana saya sudah tidak mempunyai masa untuk menunggu.
“Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk berumah tangga. Saya tidak mempunyai banyak masa, apatah lagi apabila bercakap soal zuriat, memandangkan usia saya sekarang.
“Namun, saya yakin aturan Tuhan dan bersabar dan menunggu, kerana perkahwinan bukan satu pertandingan dan trend. Bukan kerana orang lain berkahwin, kita juga perlu tergesa-gesa,” ujarnya.
Selain jujur, pemilik nama penuh Syarizad Ibrahim itu mencari lelaki yang ikhlas dan baik.
“Tiga ciri-ciri ini sangat penting. Saya sudah terlalu biasa mendengar janji-janji yang sama, tetapi di mana tindakannya?
“Saya mahukan tindakan, bukan sekadar kata-kata.
“Jika lelaki itu benar-benar berani, dia akan datang berjumpa ibu bapa saya. Jika sesuai, insya-Allah, perkara itu akan terjadi,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, meskipun jodohnya lambat tiba, perkara itu tidak menjadi sebab untuk dia berasa sedih kerana percaya, semuanya telah diatur Tuhan selain menegaskan tidak cerewet dalam memilih pasangan. – KOSMO! ONLINE














