KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah, rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM2.3 juta dalam serbuan berasingan di dua buah rumah sewa di Mentakab dan Kuantan baru-baru ini.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 22 Januari lalu di sebuah kediaman tidak berpenghuni di Mentakab yang dijadikan stor simpanan dadah oleh sindiket terbabit.
“Pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan lebih 44 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM2 juta dipercayai disimpan di kawasan perumahan bagi mengaburi pihak berkuasa serta penduduk setempat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, di sini, hari ini.
Mohd. Asri berkata, satu lagi serbuan dilakukan pada 26 Januari ke atas sebuah rumah di kawasan terpencil di daerah ini yang digunakan sebagai tempat simpanan barangan tidak berkastam.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 1,737.36 liter minuman keras pelbagai jenama serta 43,200 batang rokok tanpa cukai dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM262,000 termasuk duti dan cukai.
“Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam dan siasatan lanjut kedua kes berkenaan masih dijalankan termasuk mengesan individu yang menyewa kediaman terbabit seterusnya mengesan dalang yang terlibat,”katanya.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, pihaknya telah melancarkan Operasi Pintasan di seluruh negeri ini sempena perayaan tahun Baru Cina bermula Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














