JAKARTA – Seorang lelaki di Ngawen, wilayah Jawa Tengah membuat laporan polis selepas dia dibelasah dan dimalukan orang ramai ketika ditangkap basah di sebuah rumah semalam, lapor laman berita Detik.
Lelaki dikenali sebagai Cimut, 23, berkata, dia melantik peguam selepas membuat laporan polis ke atas kira-kira 30 individu di Kampung Srigading.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan) semalam, Cimut ditangkap berdua-duaan dengan seorang wanita yang berstatus isteri orang di sebuah rumah.
“Sebelum diserang, mereka merakam kami terlebih dahulu, kemudian menyerbu dan terus menumbuk saya di dalam rumah,” kata Cimut.
Peguam Cimut, Yusuf Nurbaidi berkata, penyeksaan penduduk terhadap anak guamnya adalah tidak berperikemanusiaan.
Tambah Yusuf, anak guamnya bukan sahaja dipukul, malah dimalukan secara terbuka.
“Anak guam saya dipukul, diseksa, dilucutkan pakaian dan diarak sejauh kira-kira 1 kilometer ke balai raya kampung.
“Indonesia adalah negara yang mempunyai undang-undang, dan tindakan menjatuhkan hukum sendiri tidak boleh diterima,” kata Yusuf.
Tambah Yusuf lagi, walaupun anak guamnya mengakui tindakannya salah, keganasan yang dilakukan oleh orang ramai tidak dibenarkan dari segi undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Ngawen, Asisten Komisioner Lilik Eko Sukaryono mengesahkan insiden tersebut.
“Ia berlaku di rumah seorang wanita di Kampung Srigading, Ngawen.
“Selepas kami menerima laporan tentang perbuatan berkhalwat, pegawai menahan pelaku dan membawa mereka ke balai polis. Ya, terdapat kecederaan yang dialami semasa siasatan,” jelasnya. – AGENSI














