fbpx
Mohd. Isa yang menaiki kenderaan polis selepas diperintah menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

‘Salam’ Isa Samad bawa maksud tersirat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menyatakan perkataan ‘salam’ yang disampaikan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menerusi ‘orang tengah’ kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB) membawa maksud tersirat.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hasan yang mengetuai panel tiga hakim berkata, keterangan menunjukkan Mohd. Isa telah menggunakan ‘orang tengah’ itu untuk meminta dana politik daripada seorang ahli perniagaan.

Ia berikutan syarikat ahli perniagaan itu berpotensi mendapat manfaat daripada kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) yang mana Mohd. Isa selaku pengerusi FICSB yang terbabit dalam kelulusan pembelian MPHS.

Katanya, Mohd. Isa telah beberapa kali menyampaikan salam kepada Ikhwan Zaidel, iaitu pengarah dan pemegang saham GAPSB, yang berjaya menjual MPHS kepada FICSB.

Sambil mengakui bahawa penyampaian salam melalui orang tengah adalah satu amalan biasa, panel berpendapat konteks komunikasi itu menunjukkan bahawa wujudnya permintaan.

“Kami mengakui bahawa penyampaian salam melalui orang tengah adalah amalan biasa dalam kalangan umat Islam. Namun, dalam konteks kes ini, komunikasi responden (Mohd. Isa) yang disertai salam terbabit menyokong keterangan bahawa wujud permintaan atau desakan bagi pemberian dana. Itu membawa konotasi yang berbeza,” katanya.

Mahkamah selanjutnya menolak hujahan pembelaan bahawa ‘orang tengah’ terbabit, iaitu bekas Pegawai Khas Politik Mohd. Isa, Muhammad Zahid Md Arip bertindak secara bersendirian, dengan menyatakan adalah tidak munasabah dana itu diminta tanpa kebenaran Mohd. Isa.

“Sebagai pegawai khas kepada responden, adalah sangat tidak munasabah Muhammad Zahid akan meminta atau mendesak dana terbabit untuk dirinya sendiri. Ia memerlukan seseorang yang mempunyai autoriti untuk meminta atau mendesak sejumlah wang yang besar. Dalam kes ini, responden adalah individu berkenaan,” katanya.

Terdahulu Mohd. Isa diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Persekutuan di sini atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Nordin selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan Mohd. Isa, 77, terhadap sembilan pertuduhan itu selain mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan responden sebelum ini.

Justeru dengan sabitan dan hukuman itu, mahkamah tertinggi negara mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa termasuk hukuman yang dijatuhkan.

Pada masa sama dengan keputusan itu, Mohd. Isa ke penjara Sungai Buloh bagi menjalani hukuman penjara tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI