JOHOR BAHRU – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan kira-kira RM5 juta setahun bagi membantu kebajikan dan pendidikan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 sejak penubuhannya pada 2022.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu digunakan untuk bantuan bulanan, pendidikan, sumbangan persekolahan serta bantuan khas sempena perayaan bagi memastikan kebajikan anak-anak terkesan terus terbela tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, YKM menanggung bantuan kewangan anak-anak penerima sehingga berusia 18 tahun, malah diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi di institusi awam dan swasta sehingga tamat pengajian ijazah pertama.
“Selain bantuan bulanan, YKM turut menyalurkan bantuan ‘one-off’ sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Kaamatan dan Gawai sebagai sokongan tambahan kepada keluarga penerima.
“Hampir 1,000 anak-anak di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif YKM setakat ini, dengan jumlah penerima dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya pada program ziarah kasih YKM di Jalan Merak Larkin Jaya hari ini.
Sebelum itu, Ismail Sabri melawat guru piano Loke Kim Yen, 51 yang menjaga dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia akibat Covid-19, lima tahun lalu.
Anak sulungnya Soh Zhe Hon, 18, yang mengalami masalah pembelajaran kini mengikuti pembelajaran di Pusat Pendidikan Khas Integrasi SMK Tasek Utara 2 dan Soh Zhe Qi, 16, pelajar di SM Foon Yew.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa YKM akan memperkenalkan kelas tuisyen percuma secara dalam talian tahun ini melibatkan 54 anak-anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
“Kelas tuisyen ini akan dimulakan seawal minggu depan dan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan penyertaan.
“Kita juga merancang untuk menghimpunkan anak-anak ini dalam satu program bagi membina motivasi serta semangat bekerjasama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














