PEKAN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam sungai Pahang selepas dikatakan mengalami sawan di sangkar ikan patin Kampung Tebat di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 19 tahun berada di sangkar ikan Kampung Tebat, Paloh Hinai di sini.
“Mangsa dikatakan diserang sawan semasa berada di tepi sungai berdekatan sangkar ikan patin lalu terjatuh ke dalam sungai.
“Operasi mencari mangsa bersama anggota bomba dan penduduk setempat dilaksanakan tetapi mangsa belum dijumpai dan operasi disambung semula hari ini,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 20 anggota penyelamat dengan kekuatan logistik dua buah bot telah digerakkan ke lokasi yang melibatkan kerjasama antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pekan dan Balai Polis Paloh Hinai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Katanya, pasukan penyelamat telah melaksanakan pencarian awal merangkumi kawasan mangsa terjatuh, tebing sungai, dan kawasan sangkar ikan. – KOSMO! ONLINE














