SINGAPURA – Seekor kucing di Bukit Merah, Singapura tersangkut di atas sebatang pokok selama lebih 50 jam sebelum berjaya diselamatkan oleh sebuah kren, lapor portal berita Mothership.
Pemilik haiwan itu, Lisa Hairanee Bidin berkata, kucingnya yang bernama Putih, tersangkut di atas pokok dan tidak dapat turun sendiri.
Katanya, Putih hilang pada 2 Februari sebelum dilihat oleh ibu Lisa pada 6 Februari di atas pokok.
Ketika mereka cuba menurunkan kucing itu dari pokok, ia memanjat lebih tinggi, menyebabkan Lisa terpaksa meminta bantuan daripada beberapa organisasi.
Dia menghubungi Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA), Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), tetapi diberitahu bahawa mereka tidak dapat membantunya.
“Saya tertekan dan sangat risau. Ia menakutkan, kami fikir Putih mungkin akan jatuh dari pokok,” katanya.
Seorang rakan Lisa kemudian menghubungi perkhidmatan penyelamat hidupan liar, JK Wildlife, yang memberitahu bahawa mereka perlu mendapatkan jentera angkat untuk membantu mendapatkan Putih.
JK Wildlife berjaya mendapatkan satu syarikat pembinaan untuk membantu menyelamatkan Putih, tetapi ia hanya tersedia pada 8 Februari.
Putih akhirnya berjaya diselamatkan selepas menghabiskan lebih 50 jam tersangkut di pokok.
Secara keseluruhan, Lisa membelanjakan sebayak SG$450 (RM1,400) untuk JK Wildlife bagi kerja-kerja menyelamat dan SG$600 (RM1,700) kepada syarikat pembinaan yang menyediakan jentera angkat.
Sementara itu, Putih kini berada dalam keadaan sihat, banyak makan, minum dan tidur. – AGENSI














