KUALA SELANGOR – Selangor mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh baharu apabila memulakan projek Ladang Solar Skala Besar (LSS 5) terapung terbesar negara di Bestari Jaya, di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek bernilai lebih RM1 bilion itu dibangunkan Bestari Solar Sdn. Bhd. (BSSB), sebuah konsortium diterajui Edra Power Holdings Sdn. Bhd. (Edra), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn. Bhd. selepas memenangi bidaan secara kompetitif.
Menurutnya, projek melibatkan keluasan kira-kira 430 hektar itu akan dibangunkan di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri termasuk Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan sebahagian tanah kerajaan negeri.
“Tanah-tanah ini akan dipajak kepada Worldwide dan syarikat terlibat bagi operasi tenaga solar dalam tempoh 21 tahun. Projek ladang solar itu kelak akan melibatkan kapasiti 300 megawatt (MW),” katanya selepas merasmian majlis pecah tanah projek itu, hari ini.
Projek itu yang juga salah satu terbesar di Asia Tenggara dijangka siap dibina sepenuhnya pada Julai tahun depan.
Tambah Amirudin, lebih 80 peratus projek itu menggunakan teknologi solar terapung manakala selebihnya solar di darat sekali gus membolehkan Selangor memanfaatkan badan air (kolam simpanan air mentah) sedia ada tanpa menjejaskan penggunaan tanah secara besaran.
“Menerusi solar terapung, penggunaan tanah dapat diminimumkan dan badan air yang aktiviti penggunaannya terhad dapat dimanfaatkan secara optimum bagi tempoh 15 hingga 20 tahun,” katanya.
Mengulas isu kualiti air, Amirudin memberi jaminan teknologi terkini yang digunakan tidak akan menjejaskan kualiti air malah mengambil kira aspek pengoksigenan dan kawalan pertumbuhan alga.
“Teknologi pontun yang lebih mesra alam mampu menangani kebimbangan berkaitan kualiti air. Tambahan pula air ini hanya digunakan sebagai pilihan terakhir apabila paras air berada pada tahap kritikal,” katanya. – KOSMO! ONLINE






