JOHOR BAHRU – Polis mengklasifikasikan kejadian dua individu maut dalam insiden kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini, awal pagi tadi sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya bagaimanapun masih melakukan siasatan lanjut bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai SDR dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi memastikan tiada sebarang unsur jenayah terlibat,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Radin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran rumah itu pada pukul 7 pagi sebelum sepasukan polis dari Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan awal.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Ketika operasi menyelamat, bomba menemui dua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),”katanya.
Radin berkata, kebakaran itu mengorbankan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang mana dipercayai hubungan mereka adalah kenalan di tempat kerja.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke HSA bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Punca sebenar kebakaran serta punca kematian mangsa masih dalam siasatan lanjut dan menunggu laporan rasmi aripada JBPM serta laporan bedah siasat,” jelasnya.
Sementara itu, ketika dihubungi dan ditanya mengapa suami kepada mangsa wanita dibawa ke balai polis, Radin berkata, ia adalah prosedur biasa untuk mengambil keterangan waris.-KOSMO! ONLINE














