ARAU – Perlis mencatatkan suhu terpanas 36.5 darjah Celsius pada 6 Februari lalu selepas 39 hari tidak menerima hujan sejak penghujung Disember tahun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Perlis, Mohd. Saharudi Saad berkata, negeri itu tidak menerima hujan sepanjang bulan lalu dan hanya mencatatkan 2.2 milimeter (mm) taburan hujan pada 6 Februari lepas.
“Perlis dijangka menerima taburan hujan sebanyak 40 hingga 60 mm sepanjang Februari dan 100 hingga 150 mm pada bulan depan.
“Untuk rekod, sepanjang Oktober tahun lalu, Perlis menerima taburan hujan sebanyak 265 mm; November (406.5 mm) dan Disember hanya 21 mm,” katanya ketika ditemui di Pejabat MetMalaysia Perlis, di sini hari ini.
Katanya, hujan lebat selama dua hari pada November lalu melebihi jumlah satu bulan taburan hujan yang menyumbang kepada berlaku banjir besar di negeri itu.
Dalam pada itu, katanya, corak cuaca kering di negeri Perlis pada waktu ini sama seperti tahun lepas selari dengan kurangnya hujan pada penggal kedua Monsun Timur Laut.
Menyentuh mengenai pembenihan awan (OPA), Mohd. Saharudi menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk perkara tersebut.
“Pelaksanaan OPA bergantung kepada kesesuaian keadaan atmosfera, khususnya kewujudan awan kumulus menara. Ketika cuaca kering, awan yang sesuai untuk pembenihan awan sukar terbentuk dan operasi ini lazimnya dilaksanakan atas permintaan kerajaan negeri atau sektor berkepentingan bagi menangani isu kekurangan air.
“Operasi pembenihan awan bukan penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan suhu kerana kesan hujan yang terhasil bersifat sementara dan suhu boleh meningkat semula sekiranya tempoh kering berterusan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














