PETALING JAYA – Menteri Pertahanan merakamkan penghargaan kepada dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bertugas di Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC), yang berpusat di Arab Saudi.
Ini kerana kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dedikasi dan profesionalisme kedua-dua pegawai ATM itu telah membawa nama baik Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Malah katanya, kedua-dua pegawai ATM itu juga telah menyumbang kepada usaha kolektif demi keselamatan dan kestabilan serantau serta global.
“Mereka ialah Leftenan Kolonel Mohd Shah bin Othman, selaku Ketua Delegasi Malaysia ke IMCTC, serta Mejar Zainudin bin Abu Hasan, yang berkhidmat sebagai Pegawai Analisis,”katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penyertaan Malaysia dalam IMCTC mencerminkan komitmen negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Terutamanya kata beliau, bagi menangani pelbagai bentuk ancaman keselamatan, termasuk keganasan dan ekstremisme.
“Dalam konteks ini, Malaysia turut menzahirkan pendirian tegas untuk mengekang dakyah-dakyah songsang serta ancaman yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan bukan negara (non-state actors) yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan,”katanya. – KOSMO! ONLINE














