BATU PAHAT – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya dalam kejadian di Taman Damai, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Lim Chee Seong, 44, didakwa melakukan kesalahan antara pukul 10 malam 26 Januari hingga 11 pagi 27 Januari dengan menyebabkan kematian kepada Lim Bee Lan, 41.
Untuk kesalahan itu, Chee Seong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Arun Noval Dass kemudian menetapkan 27 April sebagai tarikh penyerahan laporan bedah siasat, perubatan, asid deoksiribonukleik (DNA) dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Terdahulu, pada 30 Januari lalu, Polis Daerah Batu Pahat telah menahan seorang lelaki dalam keadaan kritikal di dalam sebuah rumah sewa di Taman Damai selepas menemui seorang wanita yang telah meninggal dunia dalam sebuah bilik.
Suspek juga berada dalam keadaan kritikal selepas cuba membunuh diri dengan mencederakan diri dipercayai berniat membunuh diri selepas membunuh kekasihnya dengan menekup mukanya menggunakan bantal.-KOSMO! ONLINE














