PETALING JAYA – Segelintir pengguna pasti mengalami perasaan teruja untuk menanti bungkusan pembelian secara dalam talian sampai di depan rumah.
Bagi mereka, bunyi hon motor abang posmen itu adalah bunyi paling merdu dan pada masa sama jantung berdegup laju diringi perasaan teruja membuak-buak untuk koyakkan plastik kurier.
Bagaimanapun, selepas lima minit ‘unboxing’, rasa teruja itu hilang kerana sebenarnya kita tidak memerlukan barangan tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), perasaan sedemikian berlaku kerana individu tersebut mengalami ketagihan Dopamin melalui “retail therapy”.
“Bila kita stres, sunyi, atau sedih, otak kita cari jalan pintas untuk rasa gembira. Butang “check out” di Shopee/TikTok adalah picagari dopamin paling mudah.
“Otak anda kata: beli ni, nanti kau gembira. Tapi itu tipu daya kimia otak, anda bukan beli baju, anda sedang cuba “beli” ketenangan jiwa untuk tutup lubang emosi yang kosong,”kata PHM.
Mengulas lanjut, PHM menyifatkan aktiviti itu sebagai “ubat” yang mahal dan kesannya sekejap sangat.
“Akhirnya, duit habis, rumah semak, tapi hati tetap sunyi.
“Sebelum tekan place order malam ini, tanya diri: “aku betul-betul nak barang ni, atau aku cuma nak rasa lega sekejap?,”soal PHM.-KOSMO! ONLINE














