PETALING JAYA – “Sebab dalam rumah tangga yang paling bahaya bukan marah, tapi diam”.
Itu penjelasan oleh seorang pengamal perubatan, Dr. Ahmad Samhan Awang mengenai kepentingan ‘deep talk’ (perbualan mendalam) bagi hubungan suami isteri.
Beliau berkata, ‘deep talk’ perlu kerana setiap individu sukar untuk mengetahui semua yang dirasai oleh pasangan masing-masing.
“Penat, kecewa atau rasa tak dihargai, kalau tak diluahkan ia akan jadi jarak.
“‘Deep talk’ buat kita faham apa yang pasangan pendam selama ni. Apa yang dia takut, harapkan dan tak berani sebut,” katanya menerusi media sosial.
Dr. Samhan menjelaskan, ‘deep talk’ mampu menjadikan hubungan lebih selamat.
“Bila suami isteri mula bercakap dari hati, emosi jadi lebih tenang, salah faham berkurang dan hubungan jadi lebih selamat.
“Rumah tangga tak runtuh sebab masalah besar. Ia runtuh bila perasaan kecil dibiarkan terkumpul tanpa perbincangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














