GEORGE TOWN – Gelandangan tempatan dan warga asing dikatakan sanggup ‘berumah’ di Pulau Pinang ketika bulan Ramadan memandangkan negeri ini popular sebagai lokasi tumpuan pelancong selain rakyatnya yang begitu pemurah.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim mendedahkan perkara tersebut dan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Pulau Pinang merupakan negeri pilihan bagi kumpulan gelandangan pada setiap tahun terutama menjelang bulan Ramadan.
Menurutnya, antara lokasi hot spot gelandangan yang dikenal pasti adalah di bawah Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang dan Jalan Masjid Kapitan Keling.
“Memang tempat-tempat ini menjadi sasaran kumpulan gelandangan setiap kali menjelangnya Ramadan. Mereka bukan sahaja dikatakan berasal di negeri ini malah sanggup datang jauh dari negeri-negeri jiran seperti di Kedah termasuk warga asing seperti Indonesia.
“Ada yang datang berkeluarga dan ada juga yang datang seorang diri. Pihak kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang ambil maklum tentang situasi ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kehadiran gelandangan dalam jumlah yang ramai setiap kali kali Ramadan di Pulau Pinang.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Gunting Rambut Percuma anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan MatSaleh Barber di Pusat Transit Harapan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Pada program tersebut, kira-kira seramai 100 gelandangan berpeluang memotong rambut pelbagai gaya bersama dengan 20 peserta kursus dari MatSaleh Academy.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu lagi, pihaknya juga tidak menafikan yang rakyat Pulau Pinang mempunyai sifat pemurah dan baik hati terhadap golongan kurang berkemampuan.
“Memang pernah ada pepatah berkata, di Pulau Pinang kamu tak kan risau akan mati kebuluran. Sebab di sini memang ramai penderma. Disebabkan itu jugalah telah mengundang ramai orang (gelandangan) datang ke Pulau Pinang. Di Pusat Transit ini pun ada ramai geladangan termasuk dari negeri-negeri lain juga,” ujarnya.
Justeru, beritahu Siew Khim lagi, pihaknya akan bekerjasama dengan JKM dan agensi berkaitan bagi meningkatkan operasi berkala sepanjang Ramadan. -KOSMO! ONLINE














