fbpx
MIR

MotoGP: Mir bimbang kepantasan Ducati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir gembira dengan peningkatan jentera Honda pada ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun mengakui mereka masih belum mampu menandingi kepantasan Ducati.

Walaupun Mir berjaya meletakkan Honda di kedudukan kelima keseluruhan dengan catatan satu minit 56 saat pada hari kedua di Sepang, jurang prestasi sebenar mula kelihatan apabila simulasi perlumbaan pecut dilakukan pada hari terakhir ujian.

Pelumba Honda itu mengakui kelajuan simulasi pecut dicatat Alex Marquez dari Gresini Ducati berada dalam kelas tersendiri dan sukar untuk dicapai buat masa ini.

“Ia adalah satu peningkatan yang baik, tetapi jika anda melihat rentak pelumba Ducati terutama Alex (Marquez), kami masih jauh ketinggalan.

“Kami melakukan penambahbaikan berbanding tahun lalu. Saya mampu konsisten dengan catatan satu minit 58 saat untuk sebahagian besar pusingan, tetapi Ducati melangkah setapak lagi pada sesi pramusim ini dan mereka sangat kuat,” kata Mir.

Berdasarkan data simulasi 10 pusingan, Mir ketinggalan kira-kira 9.096 saat di belakang Alex yang mana secara teorinya hanya meletakkan dirinya di kedudukan keenam jika ia adalah perlumbaan pecut sebenar.

Alex yang kini memacu jentera spesifikasi kilang, mencuri tumpuan apabila mencatat satu minit 57.295 saat pada awal perlumbaan pecut simulasi.

Mengulas lanjut mengenai jentera RC213V versi 2026, Mir menyifatkan motosikal kali ini yang terbaik pernah ditungganginya, namun masalah cengkaman masih menghantui mereka.

“Cengkam adalah satu-satunya perkara yang perlu kami beri tumpuan. Dengan cengkaman yang lebih baik, kami boleh mengawal putaran tayar dan mengurangkan kehausan tayar.

“Jika perlumbaan bermula esok, saya rasa kami boleh bersaing untuk kelompok lima atau empat terbaik, tetapi bukan lebih daripada itu,” tambahnya.

Siri ujian pramusim terakhir akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand pada 21 hingga 22 Februari ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN