PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli di Parlimen, hari ini.
Menerusi satu hantaran oleh Anwar di laman media sosial, pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan berkaitan pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis, khususnya dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh.
Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan termasuk keperluan mempergiat usaha membantu rakyat Perlis dengan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan hidup, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan inklusif.
“Kerajaan Madani akan terus komited memastikan setiap negeri diberi perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, hubungan erat antara kerajaan pusat dan negeri amat penting bagi menjamin pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.- KOSMO! ONLINE














