WASHINGTON – Ghislaine Maxwell yang merupakan rakan subahat penjenayah seks, Jeffrey Epstein enggan menjawab soalan daripada wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) tetapi peguamnya berkata, dia bersedia bercakap jika diberi pengampunan oleh Presiden Donald Trump.
Maxwell, 64, yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana pemerdagangan seks, dipanggil Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan untuk menjelaskan hubungannya dengan mendiang Epstein.
Bagaimanapun, bekas sosialit Britain itu menggunakan hak Pindaan Kelima Perlembagaan AS untuk tidak membuka mulut.
“Seperti dijangka, Ghislaine Maxwell menggunakan Pindaan Kelima dan enggan menjawab sebarang soalan. Ini jelas sangat mengecewakan.”
“Kami mempunyai banyak soalan untuk ditanya mengenai jenayah yang dia dan Epstein lakukan serta soalan mengenai rakan subahat yang lain,” kata pengerusi jawatankuasa berkenaan, James Comer kepada pemberita.
Peguam Maxwell, David Markus bagaimanapun berkata, anak guamnya bersedia untuk bercakap secara terbuka jika diberikan pengampunan oleh Trump.
“Jika jawatankuasa ini dan orang awam Amerika benar-benar ingin mendengar kebenaran yang tidak ditapis tentang apa yang berlaku, terdapat jalan mudah.
“Maxwell bersedia untuk bercakap sepenuhnya dan jujur jika diberikan pengampunan oleh Presiden Trump,” kata Markus dalam satu kenyataan.
Maxwell adalah satu-satunya individu yang disabitkan dengan jenayah berkaitan Epstein. Pesalah seks itu meninggal dunia di penjara New York pada 2019 sementara menunggu perbicaraan untuk pemerdagangan seks.
Maxwell dituduh pada 2021 kerana membekalkan gadis bawah umur kepada Epstein yang mempunyai hubungan dengan eksekutif perniagaan, ahli politik, selebriti, tokoh akademik dan orang kenamaan lain.
Wanita itu disapina untuk memberi keterangan secara maya dari penjara Texas di mana dia sedang menjalani hukumannya. – AFP














