PETALING JAYA – Selepas menggegarkan dunia hiburan dengan pelbagai kisah sensasi, pelakon Puteri Balqis kini nekad untuk menutup buku lama dan fokus sepenuhnya membina kehidupan yang lebih stabil.
Pemilik nama lengkap Puteri Balqis Azizi, 19, turut menyatakan hasratnya untuk tidak mahu lagi membuang tenaga terjebak dalam cerita tentang musuh.
“Kami pilih untuk terus bekerja, berjalan. Mahu jadi jutawan,
“Mahu bina masa depan dan kami tidak lagi hidup berpaksikan cerita musuh dan lawan,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pada masa sama, pelakon drama Keluarga Itu turut membuat luahan tersirat yang menyifatkan segelintir pihak yang didakwa cuba memutar belit kebenaran demi kepentingan diri serta memanipulasi emosi orang lain sebagai bahan hiburan.
“Suatu waktu dahulu, kata-kata dilempar tanpa fikir, emosi dijadikan hiburan, empati ditinggalkan di belakang. Hari ini, masing-masing cuba berdiri betul, menuding sekeliling, memutar cerita agar tampak bersih.
“Ada yang pernah menyakiti, namun kini lupa peranannya sendiri. Ada yang hebat membuli, kemudian kini merasa dibuli, lalu membingkai naratif, memanipulasi keadaan, mengikut sudut yang menguntungkan.
“Ada juga yang memilih diam, bukan kerana tidak tahu tetapi kerana indahnya kebenaran, jelas membuat mereka semakin matang.
Sebelum ini, media sosial panas sebaik Puteri Balqis ‘menempelak’ pelakon Mia Sara agar menyelesaikan isu antara mereka dengan dua pilihan selepas wanita berusia 21 tahun itu didakwa turut pernah memalukan ibunya.
Dalam masa sama, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish, menyifatkan tindakan Mia Sara yang mengalirkan air mata di hadapan pihak media baru-baru ini hanyalah sekadar usaha untuk meraih simpati khalayak. – KOSMO! ONLINE














