PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Persekutuan di sini semalam atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan Mohd. Isa, 77, terhadap sembilan pertuduhan itu selain mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan responden sebelum ini.
Justeru dengan sabitan dan hukuman itu, mahkamah tertinggi negara mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa termasuk hukuman yang dijatuhkan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.
Sepanjang prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu manakala peguam M. Athimulan mewakili responden.
Dalam rayuan itu, pendakwaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu yang melepas dan membebaskan Mohd. Isa daripada semua pertuduhan.
Semasa penghujahan pada minggu lalu, Afzainizam berhujah, saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas pegawai khas politiknya jelas menyatakan, Mohd. Isa sendiri mengarahkan beliau untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.
Menurut pendakwaan, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada Ikhwan (SP16), tiada saksi mata yang melihat penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali menguatkan kes pendakwaan bahawa hanya ketiga-tiga mereka sahaja yang mengetahui berhubung wang rasuah tersebut.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Sementara itu, Athimulan berhujah, rayuan pendakwaan tidak bermerit manakala Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Mohd. Isa daripada kesemua pertuduhan.
Beliau bersama-sama peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat berhujah, Mahkamah Rayuan tidak melakukan kekhilafan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan untuk campur tangan dan mengubah keputusan tersebut.
Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan beliau.
Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd, Ikhwan Zaidel.
Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd. Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.
Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.
Pada 2018, Mohd. Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














