JOHOR BAHRU – Siasatan awal polis mendapati kejadian seorang remaja dibuli sekumpulan empat remaja lain di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, Sabtu lalu disyaki berpunca daripada kehilangan selipar.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu gerai minuman berusia 13 tahun disyaki mencuri selipar salah seorang daripada suspek.
Menurutnya, selipar yang didakwa dicuri itu ditemui semula di kaki lima rumah mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa kanak-kanak warga tempatan berusia 13 tahun kerana didakwa mencuri selipar salah seorang suspek.
“Susulan kejadian video tular, pengadu yang berusia 28 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan polis menahan keempat-empat remaja berusia 14 hingga 15 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, reman ke atas kesemua suspek yang tidak bersekolah itu telah dipohon dan mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Februari.
Jelasnya, polis turut merampas seutas tali nilon, penyembur racun serangga dan pemetik api bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor namun masih terdapat beberapa arahan perlu dilengkapkan untuk pertuduhan.
“Permohonan reman ke atas semua suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru,”katanya.
Terdahulu, Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan kes tular berkaitan satu rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian buli melibatkan beberapa kanak-kanak yang disyaki berlaku di kawasan kediaman di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, 12.39 tengah malam tadi.
Menerusi video CCTV berdurasi 23 saat yang tular menunjukkan kejadian berlaku melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak melakukan kejadian itu ke atas mangsa yang disyaki juga kanak-kanak lelaki.
Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur menggunakan alat penyembur nyamuk oleh salah seorang suspek ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat dan mulutnya dilekat pita pelekat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada mereka mendekati mangsa yang terbaring sebelum mengangkat mangsa dalam keadaan lemah.
Manakala seorang kanak-kanak bertindak sebagai pemantau atau ‘cover line’.-KOSMO! ONLINE














