JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pekerja kilang untuk menimang cahaya mata sulung tidak kesampaian apabila isterinya yang sedang mengandung tiga bulan ditemui maut bersama rakannya dalam kejadian kebakaran rumah di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini, hari ini.
Menurut Irfan Ibrahim, 24, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
“Saya kerja shif malam, dalam pukul 6 pagi saya terima panggilan daripada keluarga memaklumkan rumah kami terbakar. Bila sampai rumah dalam pukul 7 pagi, saya tengok api dah padam dan bomba serta polis dah sampai.
“Isteri saya, Wan Norhairani Wan Norzaini, 21, dan kawan kami, Mohd. Shahrizal Yap, 22, berada di rumah dan mereka ditemui maut.” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Irfan, dia dan isterinya mendirikan rumah tangga dua tahun lalu dan bakal menimang cahaya mata sulung tahun ini.
“Arwah isteri mengandung tiga bulan dan jangka akan melahirkan anak sulung pada bulan Ogos. Saya reda dengan kejadian ini, sudah ketentuan Ilahi dia pergi dengan cara begini.
“Kami tinggal bertiga, saya dan isteri duduk di sini kira-kira setahun dah dan kawan saya duduk sini baru dua bulan, dia menumpang sebab tak ada kerja dan tak ada tempat tinggal sebab dia orang Sarawak, kami bertiga dulu kerja satu tempat kerja tapi sekarang mereka berdua tak kerja dah,”katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Kamal Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.28 pagi.
“Api berjaya dikawal pada pukul 5.51 pagi sebelum operasi pencarian dilakukan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di dalam rumah,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Kamal berkata, semasa pemeriksaan di tingkat atas, anggota bomba menemukan dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa masing-masing seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Shahrizal Yap, 22 dan seorang wanita Wan Nurkhairani Nan Norzaimi, 21, dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat terhidu asap tebal. – KOSMO! ONLINE














