PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli berada pada tahap kesediaan tertinggi untuk memulakan cabaran pada aksi pembuka tirai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3.
Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui teruja untuk kembali ke litar antarabangsa terutama bagi menguji jentera Moto3 menjelang sesi ujian rasmi di Portimao, Portugal selama dua hari bermula semalam.
“Saya menjalani ujian selama dua hari di Portimao dan dua hari lagi di Jerez (Sepanyol). Harapan saya adalah untuk mendapatkan semula rentak dengan jentera Moto3 serta mencari pelarasan terbaik sebelum musim bermula.
“Saya akan memberi yang terbaik kerana sesi ujian ini penting untuk saya mencari pelarasan terbaik bersama pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai persiapannya, anak jati Terengganu itu mendedahkan dia telah menjalani latihan intensif di tanah air, termasuk berlatih bersama beberapa pelumba dari Sepanyol yang sanggup datang ke Malaysia.
Kehadiran pelumba luar itu dianggap sebagai peluang keemasan untuknya meningkatkan lagi tahap persaingannya.
Hakim Danish yang bersaing bersama pasukan MT Helmets MSI itu dijangka menggunakan jentera Angel Piqueras selepas pelumba Sepanyol tersebut dinaikkan pangkat ke kelas Moto2 bersama QJMotor-Frinsa-MSI.
Tahun ini, Hakim Danish akan menjadi rakan sepasukan pelumba dari Jepun, Ryusei Yamanaka dengan memacu jentera KTM RC250GP.














