LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot mendakwa pengadil perlawanan, Craig Pawson bersikap berat sebelah ketika tewas 1-2 kepada Manchester City di Anfield awal pagi semalam.
Pengurus dari Belanda itu mendakwa pertahanan The Citizens, Marc Guehi sepatutnya dilayangkan kad merah ketika melakukan kekasaran profesional terhadap Mohamed Salah yang sudah pun memiliki peluang terbuka untuk menjaringkan gol.
“Ini (kad merah kepada Dominik Szoboszlai) bukan perkara yang kita patut bincangkan. Jika ia adalah peraturan, kami kena terima keputusan pengadil.
“Kita boleh bercakap tentang keputusan (pengadil), saya suka untuk berbicara tentang situasi Guehi menarik baju Mo (Salah). Semua orang sudah berada di stadium sejak lapan tahun lalu.
“Semua orang tahu jika Mo berada di posisi itu, sudah pasti dia mampu menghasilkan jaringan. Jadi situasi itu jelas insiden yang menafikan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Terdahulu, Szoboszlai sekali lagi menyerlahkan kepakaran menerusi sepakan percuma untuk meletakkan The Reds di depan, namun aksi terus dihidangkan dengan drama selepas Bernardo Silva menyamakan kedudukan sebelum Erling Haaland menyempurnakan penalti buat City.
Dalam masa sama, Slot juga mendakwa pasukannya seakan sudah terbiasa melepaskan gol di saat akhir termasuk apa yang dapat disaksikan pada perlawanan kali ini.
“Untuk kami, agak mengecewakan apabila tidak memperoleh keputusan yang dimahukan. Kami seperti sudah terbiasa bolos pada masa tambaan dan ia berlaku sekali lagi pada perlawanan kali ini,” katanya. – AGENSI














