PETALING JAYA – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) telah meraikan seramai 75 peserta Program Pembangunan Profesional (PDP) ILTIZAM Kohort 2025 dalam majlis graduasi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan bumiputera yang mendapat sokongan daripada program ini adalah seramai 807 orang sejak diperkenalkan pada tahun 2012.
ILTIZAM merupakan platform impak sosial Ekuinas yang diwujudkan untuk
memperkasa komuniti bumiputera melalui inisiatif berfokus dan berimpak tinggi
merentasi tiga teras utama, iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti.
Program ini terus memainkan peranan penting dalam menangani isu pengangguran serta masalah guna tenaga tidak optimum dalam kalangan graduan, terutamanya mereka yang berasal daripada latar belakang
kurang berkemampuan.
Di bawah teras Pendidikan, ILTIZAM PDP ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai inisiatif bersasar bagi menangani isu pengangguran dan pekerjaan yang tidak setara kelayakan dalam kalangan graduan, khususnya belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, sepanjang pelaksanaan program ini, pihaknya menerima jumlah permohonan yang tinggi dan memberangsangkan dari seluruh negara.
“Setiap permohonan mewakili seorang graduan muda yang mempunyai
harapan, tanggungjawab dan potensi.
“Proses pemilihan dijalankan dengan teliti dan berdisiplin, bagi mengenal pasti individu yang mempunyai semangat, daya tahan serta potensi yang tinggi. Kami yakin bahawa dengan bimbingan dan peluang yang sesuai, mereka mampu melangkah jauh,” katanya pada majlis graduasi program tersebut baru-baru ini.
Program ini mengguna pakai pendekatan holistik dalam pembangunan graduan
dengan menggabungkan latihan berstruktur di bilik darjah, bimbingan dan
pementoran secara peribadi, serta penempatan pekerjaan bergaji selama 12 bulan di Ekuinas dan 28 organisasi lain yang merangkumi syarikat portfolio Ekuinas serta rakan strategik.
Bermula dengan kohort 2026, setiap peserta menerima gaji bulanan
sebanyak RM2,800, dinaikkan daripada RM2,500 pada tahun-tahun sebelumnya.
Tambah beliau, program ILTIZAM PDP memainkan peranan penting
dalam merapatkan jurang antara kelayakan akademik dan keperluan serta
permintaan industri.
“Majlis graduasi ini melakar laluan kerjaya bagi 75 belia profesional. Melalui latihan berstruktur, pengalaman bekerja sebenar serta bimbingan berterusan daripada pelbagai pihak.
“ILTIZAM PDP memperkasa para graduan dengan kemahiran insaniah, disiplin, daya tahan dan daya saing serta keyakinan yang diperlukan untuk melangkah ke alam pekerjaan serta membina kerjaya yang mampan,” ujarnya.














