KUALA LUMPUR – Kerajaan meneruskan berterusan dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak negara terus terpelihara menerusi pelaksanaan menyeluruh Dasar Kanak-Kanak Negara (DKN), termasuk Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara 2026 – 2030.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, pelaksanaan Dasar Kanak-Kanak Negara 2009 – 2015 telah menjadi kerangka utama kerajaan.
Menurut beliau, dasar tersebut memberi penekanan kepada kelangsungan hidup dan perkembangan, perlindungan daripada pengabaian, penderaan serta eksploitasi, selain memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan melibatkan mereka.
“Antara pencapaian utama dasar tersebut termasuk peningkatan kualiti perlindungan kanak-kanak, peluasan pendidikan awal dan sokongan keluarga, pengiktirafan hak kanak-kanak untuk bersuara, serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam memelihara hak kanak-kanak,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai kejayaan pelaksanaan DKN 2009 – 2015 dan apakah perancangan yang holistik terhadap DKN tersebut bagi menjamin kebajikan, kesejahteraan serta keselamatan kanak-kanak sebagai penyambung generasi akan datang.
Hui Ying berkata, antara perkara signifikan yang dicapai menerusi Dasar dan Pelan Tindakan ini ialah kesedaran berhubung hak kanak-kanak yang membawa kepada pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) pada tahun 2016.
“Pindaan kepada Akta 611 yang telah dibuat ini adalah untuk memperkenalkandasar pemeliharaan kanak-kanak berasaskan keluarga, penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (MKBKK) yang memberi tumpuan kepada isu kanak-kanak dan memperbaiki peruntukan sedia ada dalam aspek perlindungan dan pemulihan terhadap kanak-kanak.
“Kerajaan kemudian melancarkan DKN yang baharu pada 24 November 2024 dan disusuli dengan Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara 2026 – 2030 pada 18 November 2025 bagi melahirkan kanak-kanak yang dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya melalui pelaksanaan advokasi, pembaharuan undang-undang, pembangunan kapasiti dan pengukuhan tadbir urus,” katanya. – KOSMO! ONLINE














