KUALA LUMPUR – Semua pekerja sektor swasta boleh memohon kepada pihak majikan untuk pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang meliputi perubahan waktu kerja, perubahan hari bekerja atau perubahan tempat bekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, permohonan tersebut juga tertakluk kepada hari rehat, tempoh masa kerja, hari kelepasan dan lain-lain syarat perkhidmatan.
Beliau berkata, amalan kerja fleksibel termasuk pengaturan kerja dari rumah (work from home) atau waktu kerja anjal ini adalah tertakluk kepada kesesuaian sektor, jenis pekerjaan dan persetujuan antara majikan dan pekerja.
“Kerajaan telah memperkenalkan AKF dengan meminda Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan pindaan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) yang berkuatkuasa mulai 1 Mei 2025.
“AKF ini memberikan penumpuan khusus kepada kebajikan pekerja serta keseimbangan kehidupan bekerja dan berkeluarga (work life balance),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini.
Ramanan berkata, Garis Panduan Pelaksanaan AKF juga telah disediakan bagi memberi pemahaman terperinci kepada pihak majikan, pekerja dan kesatuan sekerja mengenai perkara-perkara asas.
“Sehingga Disember 2025, sebanyak 222 program pendidikan perburuhan telah dilaksanakan termasuk mempromosi dan memberi taklimat mengenai AKF.
“Turut dilaksanakan adalah program FWA@Workplace oleh TalentCorp bagi membantu organisasi memahami dan melaksanakan AKF secara berkesan melalui penyediaan toolkit, bengkel dan sesi konsultasi,” katanya.
Katanya, pada tahun lalu juga sebanyak 2,460 organisasi telah terlibat, memberi manfaat kepada kira-kira 474,400 pekerja. – KOSMO! ONLINE














