PETALING JAYA – Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima di tempat lawan sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, JDT yang dikendalikan oleh Xisco Munoz membariskan kesebelasan terbaik dengan Marcos Guilherme, Joao Figueiredo dan Jairo Da Silva mennegtuai jaringan.
Skuad Harimau Selatan memulakan saingan dengan langkah kanan cemerlang apabila Guilherme meledak gol pertama hasil kesilapan benteng pertahanan lawan seawal minit ketiga.
Namun, momentum JDT terjejas apabila tonggak pertahanan, Jonathan Silva dilayangkan kad merah selepas menggunakan tangan ketika menghalang bola yang ditanduk pemain Hiroshima pada minit ke-16.
Keputusan itu memaksa JDT beraksi dengan 10 pemain, selain pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Sanfrecce Hiroshima yang disempurnakan Akito Suzuki untuk mengikat kedudukan.
Kehilangan Silva menjejaskan perancangan Munoz apabila pasukan perthanan terpaksa bertahan daripada asakan bertali arus tuan rumah dan hanya memiliki peluang ketika melakukan serangan balas pantas.
Nasib JDT bertambah malang apabila Suzuki terus menjadi duri dalam daging buat JDT apabila meledak gol kedua peribadi menerusi tandukan selepas menerima hantaran Naoki Maeda pada minit ke-47.
Pasukan pelawat cuba untuk memberi tekanan terhadap tuan rumah tetapi keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Kekalahan tersebut menyaksikan JDT kekal dengan lapan mata hasil tujuh perlawanan dan berdepan cabaran getir pada aksi terakhir apabila melayan kunjungan pendahulu Zon Timur, Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim, 17 Februari ini. – KOSMO! ONLINE














