KUALA LUMPUR – Sejumlah 10 kluster tibi direkodkan bagi tempoh Januari hingga 7 Februari tahun ini yang mana kesemuanya masih aktif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia melibatkan empat kluster di Selangor dengan 10 kes; Johor, (1 kluster dan 37 kes), Kedah, (1 kluster dan 2 kes) dan Kelantan, (1 kluster dan 2 kes).
“Sementara itu di Pahang, (1 kluster dan 4 kes), Perlis, (1 kluster dan 2 kes) serta Sabah, (1 kluster 5dan kes),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini..
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang mahu tahu status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau dan apakah langkah saringan serta kawalan khusus yang telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi tahun lalu, sebanyak 88 kluster tuberculosis (tibi) telah direkodkan melibatkan 254 kes di seluruh negara.
Menurutnya, daripada 88 kluster yang dilaporkan pada tahun lalu, sebanyak 35 kluster berstatus aktif.
Beliau berkata, semua kes tersebut direkodkan di Selangor dengan 13 kluster (37 kes), Kedah (6 kluster dan 13 kes), Sarawak (5 kluster dan 27 kes) serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (5 kluster dan14 kes).
“Selain itu, di Johor terdapat (3 kluster dan 7 kes), Kelantan (2 kluster dan 5 kes) serta Terengganu (1 kluster dan 2 kes),” ujarnya.
Mengulas mengenai langkah kawalan beliau berkata, bagi institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara dan asrama pekerja, langkah saringan adalah berdasarkan Manual Tuberculosis Information System, (TBIS 2018) iaitu pengenalpastian kontak, penilaian kontak dan pemeriksaan kontak.
“Saringan yang dijalankan merangkumi saringan simptom termasuk batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan dan susut berat badan serta pemeriksaan klinikal paru-paru.
“Selain itu, turut dilaksanakan pemeriksaan x-ray paru-paru dan pemeriksaan kahak iaitu sputum mikroskopi dan kultur,” katanya.
Katanya, langkah kawalan bagi mengekang penyebaran penyakit Tibi ini adalah dengan memastikan mereka yang disahkan menghidap penyakit Tibi diberikan rawatan awal anti-TB.
“Bagi kontak rapat yang tidak menghidap Tibi akan disaring untuk mengesan jangkitan TB atau latent TB (TB Infection) dan dimulakan rawatan pencegahan Tibi.
“Pemantauan rawatan secara Directly Observed Therapy (DOT) secara harian dilaksanakan di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.
Selain itu katanya, individu bergejala dinasihatkan mengamalkan etika batuk iaitu dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.- KOSMO! ONLINE













