KAJANG – Dua kanak-kanak perempun berusia bawah tiga tahun yang dilaporkan hilang dari sebuah apartmen di Saville Kajang, Jalan Reko, di sini, kelmarin, ditemui semula dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak bukan warganegara itu kira-kira pukul 1.46 pagi Selasa.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 11.30 malam semalam sebelum operasi mencari dan mengesan dilancarkan segera, termasuk penelitian rakaman televisyen litar tertutup di sekitar lokasi.
“Kedua-dua kanak-kanak itu ditemui oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang di tangga yang menghala ke bumbung (rooftop) apartmen pada pukul 10 pagi tadi.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun akan dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur pengabaian. – KOSMO! ONLINE














