Tomei Consolidated Berhad (Tomei) antara jenama utama yang sudah berada di pasaran sejak 58 tahun lalu memiliki rangkaian outlet yang luas dengan tawaran barang kemas yang kreatif, berinovatif, malah mengikut peredaran trend semasa.
Terbaharu, syarikat ini melancarkan empat koleksi terkininya untuk promosi hari raya dan sebelum itu berlangsung promosi untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang membolehkan pelanggan rambang mata memilih koleksi terbaharu untuk bergaya di Aidilfitri nanti.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ng Yih Pyng berkata, tawaran produknya bersesuaian dengan semua peringkat umur kerana hampir 60 peratus daripadanya terdiri daripada mereka yang berumur di sekitar 25 hingga 50 tahun.
Menurut beliau, asas perniagaan yang luas menjadikan bisnes tersebut agak berbeza dengan yang lain kerana para pelanggannya sudah memiliki emas yang banyak, malah ada yang memiliki emas lama.
“Ibu bapa mereka sudah membeli barang kemas untuk anak-anak mereka dan apabila mereka besar, ia boleh dijadikan aset dan modal bagi tukar beli koleksi emas yang baharu. Secara purata segmen ini menguasai 20 peratus tetapi apabila musim hari raya, kadar tukar beli barang kemas lama kepada yang baharu meningkat antara 30 hingga 40 peratus,” katanya dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir anaknya, Ketua Transformasi Tomei, Ng Yi Jia.
Beliau menegaskan: “Kami berada di sini selama 58 tahun dan kami mahu berada di sini selama 58 tahun lagi.”

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang koleksi barangan kemas yang dilancarkan pada hari ini, apakah sasaran jualannya?
Ng Yi Jia: Kami perkenalkan empat koleksi utama iaitu Sri Puteri, Diamond Cut, Anastasia dan Tomei Diamond yang mana ini adalah untuk jualan hari raya yang telah mula dipromosikan di semua cawangan Tomei di seluruh negara. Kami berharap akan mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan untuk koleksi terbaharu ini.
Dengan trend peningkatan harga emas, bagaimana Datuk melihat jualan terhadap koleksi terbaharu ini?
Ng Yih Pyng: Kami tidak terlalu optimistik terhadap perkembangan di pasaran semasa tetapi kami berharap penjualan pada tahun ini lebih baik berbanding raya tahun sebelumnya.
Jadi melihat kepada perkembangan harga emas masa kini, daripada aspek nilainya, penjualan adalah lebih baik, ia boleh mencatat pertumbuhan dua digit jika dilihat daripada aspek nilai. Jadi untuk mencatat sasaran pertumbuhan dua digit itu adalah satu misi yang boleh dicapai.
Tetapi jika dilihat daripada aspek berat barangan, ia akan berkurangan kerana barang kemas itu menjadi sangat mahal. Jadi pelanggan lebih suka memilih barang kemas yang kecil sedikit.

Bagaimana pula dengan momentum penjualan dalam trend sekarang?
Selagi ekonomi kita terus berkembang, ia akan terus mencatat pertumbuhan yang baik, saya melihat kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggerakkan aktiviti ekonomi, semua bantuan dan inisiatif tersebut akan menyokong.
Malah pelanggan kami juga adalah pemilik PKS dan jika sentimen perniagaan adalah baik, maka ia akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan.
Jika barangan kemas bersaiz kecil, pastinya ia tidak akan dapat memenuhi keperluan pelanggan memiliki barangan kemas yang cantik?
Itu tidak benar sebab industri kini disokong oleh banyak teknologi baharu yang membolehkan kami menghasilkan barang kemas yang kecil tetapi ia akan kelihatan lebih besar dan juga kuat.
Apabila barang tersebut lebih kuat, kami boleh lakukan pelbagai efek khusus sebagai contoh, dalam proses pemotongan berlian, kami telah berjaya melakukannya dengan begitu baik.
Sebab itulah kita perlu perkenalkan rekaan yang lebih kreatif. Kami miliki pasukan pereka barangan kemas yang produktif dengan melakukan kerja yang baik untuk hasilkan produk yang dapat memenuhi keperluan pelanggan masa kini.
Apakah kelebihan Tomei berbanding jenama lain di pasaran?
Tomei sudah berada di pasaran sejak 58 tahun dan kami adakan jenama tempatan yang dipercayai, kami telah mendapat kepercayaan daripada pelanggan, jadi itu adalah satu kelebihan buat kami.
Kami telah perkenalkan barang kemas bersesuaian dengan perubahan masa dengan rekaannya yang lebih moden dan kreatif juga mengikut trend masa kini.
Kami hargai kesetiaan dan sokongan daripada pelanggan yang sudah lama bersama kami dan kami turut memperkenalkan barang kemas untuk golongan muda, sebagai contoh koleksi Hello Kitty, terdapat juga segmen wafer emas dan kami juga bekerjasama dengan WWF untuk menjual syiling emas.
Kami telah membuat perancangan yang menarik sepanjang tahun ini dan akan perkenalkan banyak lagi produk baharu di pasaran secara berperingkat.
Sebagai satu jenama besar dalam industri ini, apakah cabaran yang dihadapi?
Perubahan harga emas di pasaran adalah antara cabaran yang kami hadapi kerana pada hari ini, kami membeli emas pada satu kadar harga dan ia terus dimulakan dengan proses pembuatan tetapi sebelum ia dijual di outlet, harganya telah jatuh tetapi kami harus menjualnya pada harga pasaran semasa.
Tetapi juga ada kemungkinan kadar harga itu akan naik semula. Jadi, risiko harga adalah sesuatu yang perlu kami hadapi.
Adalah lebih baik jika harga emas terus stabil dan kita boleh buat pengiraan dan kita tahu berapa margin kita, jadi yang mana satu pilihan kita?
Tetapi pada masa sekarang, dalam perniagaan ini, kami perlu menguruskan risiko perubahan harga tersebut dan semestinya persaingan semakin meluas kerana Malaysia adalah pasaran yang terbuka dan di sini terdapat banyak peluang kepada jenama luar negara memasuki pasaran tempatan, jadi kami perlu meningkatkan usaha sedia ada untuk terus mengukuhkan jenama sedia ada selain menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, khususnya perkhidmatan jualan dan selepas jualan.
Kenaikan harga emas yang ketara kini, adakah ia memberi petunjuk positif kepada Tomei?
Ramai orang bertanya kepada saya, soalan yang sama, trend kenaikan adalah lebih baik daripada ia menyusut tetapi apa yang sedang naik, akan turun juga. Ia adalah satu kitaran yang biasa kita hadapi.
Saya selalu menyatakan kepada umum, apabila harga emas turun, ia adalah satu peluang kepada kita untuk membeli kerana kita perlu melihat situasi tersebut pada jangka panjang.
Bagi pengguna pula, bila harga emas turun mereka cuba untuk ‘hold back’ buat sementara waktu dan apabila harga meningkat, mereka terus memasuki pasaran. Tetapi sebenarnya kitaran tersebut perlu diubah.
Sebenarnya, kami memiliki asas perniagaan yang luas dan pengoperasian perniagaan juga sangat berbeza dengan perniagaan lain kerana pelanggan sedia ada kami memiliki emas yang banyak, ini dapat dilihat di mana ibu bapa sudah membeli barang kemas untuk anak anak mereka dan apabila mereka dewasa, mereka sudah ada simpanan barang kemas.
Jadi, sejumlah besar pelanggan kami menjadikan barang kemas sedia ada, malah ada yang memiliki emas lama sebagai aset untuk dijadikan modal untuk membeli barang kemas baharu, mereka tidak membeli item baharu dengan jumlah wang tunai yang besar.
Ini adalah cara pelanggan kami membeli barang kemas baharu tetapi apabila harga barang kemas itu murah, mereka membeli secara tunai. Apabila harga emas naik, mereka menggunakan kaedah tukar beli barang kemas yang lama, malah mereka boleh menaik taraf barang kemas tersebut. -KOSMO! ONLINE














