KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi jaminan tiada pertindahan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.
Timbalan Menterinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, daripada sudut pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menyediakan sokongan teknikal, garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan REE sebagai rujukan nasional.
“Manakala kerajaan negeri mengekalkan kuasa kelulusan tenemen, pelesenan, penguatkuasaan serta kutipan hasil selaras dengan peruntukan undang-undang negeri masing-masing.
“Pendekatan ini memastikan tiada pertindihan kuasa dan menghormati pembahagian bidang kuasa Persekutuan dan negeri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai perbincangan strategik dua hala antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dilaksanakan bagi memastikan pembangunan REE dapat dilakukan berpandukan kepada semangat federalisme.
Terdahulu, Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa melaksanakan perbincangan strategik dua hala secara berterusan dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan REE dapat dilaksanakan selaras dengan semangat federalisme.
Menurut beliau, perbincangan dan penyelarasan itu dilaksanakan melalui Majlis Mineral Negara (MMN) yang berperanan sebagai platform utama untuk
menyelaras dasar, hala tuju dan tadbir urus sektor mineral antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Ujar beliau, melalui mekanisme itu, sebarang dasar dan inisiatif berkaitan pembangunan REE dibincangkan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa ke atas tanah dan mineral.
Dalam masa yang sama, katanya, Kerajaan Persekutuan turut mengadakan libat urus dua hala dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
“Ini supaya negeri-negeri pengeluar tidak sekadar menjadi tapak perlombongan semata-mata, tetapi turut menikmati manfaat ekonomi, peluang pelaburan dan pembangunan industri sokongan.
“Pembangunan industri REE negara dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berlandaskan prinsip saling menghormati bidang kuasa, tadbir urus yang baik dan kelestarian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














