KUALA LUMPUR – Tak sampai 24 jam RM100 dikreditkan terus ke MyKad penerima berumur 18 tahun ke atas hari ini, ramai berkongsi telah tebus sepenuhnya Sumbangan Asas Rahmah (Sara) hari ini.
Di Facebook, ramai pengguna memuat naik gambar resit dan barangan pembelian masing-masing ketika menebus Sara di pasar raya serta kedai runcit terpilih.
Selain itu, mereka juga lebih teruja berbelanja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kategori tambahan iaitu barangan sejuk beku di bawah iniasiatif Sara yang telah diperluaskan termasuklah penambahan kedai runcit kecil kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini.
“Selesai tebus Sara ‘one-off’ pakai MyKad. Awal menebus sebab tak banyak orang dekat kawasan saya sini, syukurlah. Ini kali kedua dan tahun kedua pernah menerima bantuan ini,” kata Qiu NC.
“Tebus sara dekat Speedmart je mudah. Tak sesak dengan orang ramai lagi tebus RM100. Terima kasih Kerajaan Madani,” kata Umi Ain.
“Alang-alang boleh boleh barang sejuk beku, terus claim (tebus) dua IC (MyKad) dengan suami. Gaji bulan ni boleh belanja baju raya. Barang dapur guna Sara, alhamdulillah,” kata Azrina.
Sementara itu, pengguna Rara Mekra memuat naik gambar memaparkan orang ramai berbaris di kaunter Sara di sebuah pasar raya.
“Ramainya orang. Agak-agak pergi tebus Sara ke apa,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di sebuah pasar raya di Setapak, di sini mendapati, sebanyak enam kaunter penebusan Sara dibuka penuh dengan barisan orang ramai pada petang ini.
Orang ramai boleh menebus Sara bermula 9 Februari hingga 31 Disember 2026. – KOSMO! ONLINE














