PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan seorang pendakwah bebas serta seorang ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah negeri Kedah susulan siasatan berhubung kes penyelewengan dana di pusat dakwah tersebut.
Menurut sumber, kedua-dua suspek hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan.
“Kedua-dua suspek tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 1.30 petang tadi dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan,” katanya hari ini.
Semalam, kedua-dua suspek telah dibebaskan daripada tahanan reman pada pukul 5 petang selepas kedua-dua suspek ditahan reman buat kali kedua pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dilepaskan malam ini dan akan disambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE














